Tuesday, 27 June 2017

SEPERTI TAHUN2 SEBELUMNYA, NAJIB "HILANG" LAGI DI HARI RAYA KEDUA


Seperti suatu kemestian, bahkan bagai acara tahunan, Najib Razak bercuti lagi ke luar negara pada Hari Raya kedua kali ini.

Menurut laporan beberapa media Indonesia, Najib dan keluarganya akan menghabiskan masa selama lima hari bercuti di Bali bermula semalam.

Di Bali, beliau dan keluarganya akan menginap di Hotel St. Regis, hotel yang sama pernah menjadi tempat penginapan Raja Salman dari Arab Saudi ketika bercuti sebelum ini.
Turut sama berada di Bali ialah bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. Namun, tidak dipastikan mereka akan bertemu atau sebaliknya.

Selepas menghabiskan cuti selama lima hari di Bali, Najib difahamkan akan terbang pula meneruskan lagi percutiannya ke Perth, Australia.

Namun, seperti tahun-tahun sebelumnya juga, percutian Najib dan keluarga di Hari Raya kedua ini dilakukan secara senyap-senyap dan tidak ada menteri kabinet, pemimpin UMNO dan penyokong yang menghantar untuk mengalu-alukan pemergiannya.

Menjelang Hari Raya baru-baru ini, askar maya pro Najib sibuk mengecam Tun Mahathir Mohamad yang diketahui akan menyambut lebaran di London bersama keluarganya.

 Gambar-gambar beliau ketika berada di KLIA dan kemudian menunaikan solat sunat Aidil Fitri di London malah tular di media-media sosial.

Tanpa usul periksa dan memahami bahawa Tun Mahathir ada beberapa jemputan rasmi di London dan pemergiannya itu kemudian turut disertai anak-anak serta ahli keluarganya yang lain kerana mereka ingin menyambut Hari Raya bersama-sama, ramai askar maya pro Najib mempertikai dan menyindir tindakan bekas Perdana Menteri tersebut.

Hakikatnya, mereka lupa, Najib hampir setiap tahun, sebaik saja selesai majlis hari raya pada hari pertama di Seri Perdana, biasanya akan terbang bercuti ke luar negara untuk setidak-tidaknya selama dua minggu lamanya.
Tahun ini, nampaknya, acara itu diteruskan lagi dengan Bali sebagai destinasi pertama dan Perth untuk lokasi yang seterusnya.

Kenapa Bali dan Perth saja?

Kebetulan atau memang sengaja mahu bertemu dengan Obamai Bali dan kemudian rehat-rehat lagi di Perth?

Kenapa sudah agak lama Najib dan keluarganya tidak bercuti ke Amerika Syarikat, Swirzerland atau negara-negara lain yang di dalamnya ada kota-kota metropolitan yang gah dengan tempat-tempat membeli-belah serba mewah? (ShahbudinHusin 27/06/2017)

Monday, 26 June 2017

AKHIRNYA SABAH, SARAWAK TOLAK CUKAI PELANCONGAN, DIMANA SUARA "MENTERI JANTAN"?


Pada 15 Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan isu cukai pelancongan yang mencetuskan perbalahan antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz dengan Sabah dan Sarawak, telah selesai.


Menurut Zahid, isu itu telah dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu dan persetujuan telah dicapai bahawa tiada lagi kenyataan dikeluarkan berhubung perkara tersebut.

"Perdana Menteri telah mempengerusikan mesyuarat Kabinet dan kami memutuskan bahawa isu tersebut telah selesai, dan tiada lagi kenyataan boleh dikeluarkan sama ada daripada pegawai kerajaan negeri atau persekutuan.


"Saya sendiri bertemu dengan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak pada Rabu. Isu ini telah ditutup dan mari kita buka buku baharu," kata beliau pada sidang media di sini.


Itu kata Zahid pada 15 Jun lalu, tetapi apa jadi hanya tidak sampai dua minggu setelah pengumuman selesai itu diucapkannya.


Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Haji Openg berkata, cukai pelancongan tidak akan dilaksanakan di Sarawak pada 1 Julai ini kerana perbincangan mengenainya dengan Putrajaya masih lagi berjalan.


Kata beliau, segala-galanya belum muktamad, hanya cara kerja yang selesai, sedangkan ada isu lain yang perlu dibincangkan, antaranya ialah berkaitan tempahan awal bilik-bilik hotel.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Masidi Manjun juga senada dengan Sarawak bahawa cukai pelancongan tidak akan dikuatkuasakan di negeri itu pada 1 Julai depan ini.


Alasan beliau ialah hotel-hotel belum lagi mendaftar untuk cukai tersebut.


"Jadi, bagaimana kerajaan akan mengutip cukai itu," katanya sambil menambah, persediaan logistik lain juga masih belum selesai.


Sebelum ini, isu cukai pelancongan itu mencetuskan perbalahan antara Nazri dengan Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah yang tidak setuju dengannya.


Nazri kemudian melabel Abdul Karim sebagai menteri "setahun jagung"  dan dalam waktu yang sana meletakkan dirinya sebagai "menteri jantan".

Perbalahan juga kemudiannya merebak antara Nazri dengan dua menteri lain iaitu Fadilah Yusof dan Abdul Rahman Dahlan dan Sarawak mengumumkan pengunduran diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia.


Bagaimanapun, dengan dua kenyataan daripada pemimpin Sabah dan Sarawak yang mengatakan cukai pelancongan tidak akan dilaksanakan pada 1 Julai di kedua-dua negeri tersebut, bukan saja kenyataan Zahid Hamidi yang menyebut isu tersebut telah selesai sebagai tidak betul, malah pendirian yang berbeza dengan kerajaan Pusat terus dikeluarkan tanpa rasa takut.


Bahkan, ketegasan tidak melaksanakannya pada 1 Julai, bermakna Sabah dan Sarawak jelas telah menang dan menundukkan Najib, Zahid dan Nazri dalam isu cukai pelancongan ini.


Lebih ingin diketahui, di mana Nazri selepas ini, masih "jantan" lagikah beliau? (ShahbudinHusin26/06/2017)

TAK MASUK AKAL ATAU MATI AKAL?


Desakan dan luahan Majlis Peguam cukup mudah - jangan sesekali meremehkan tuduhan serius yang terkandung dalam saman sivil DOJ berkaitan 1MDB.

Tindakan meremehkan itu, jika diperhati, tergambar berdasarkan semua reaksi pihak berkuasa Malaysia terhadap tindakan DOJ tersebut.

"Dakwaan dalam saman DOJ itu melibatkan pegawai 1MDB, keluarga mereka dan rakan sekutu yang lain, termasuk juga yang digambarkan sebagai Malaysian Official 1 dan isteri Malaysian Official 1.
"Memandangkan cara saman sivil itu diremehkan, diketepikan dan dikecam oleh pihak berkuasa Malaysia tanpa menangani semua tuduhan yang dibuat itu, ia adalah tindakan yang tidak dapat diterima," demikian desakan Presiden Majlis Peguam, George Varughese.

Beliau juga meluahkan kekesalannya terhadap media arus perdana yang  seolah-olah sepakat "menggelapkan" laporan mengenai tindakan DOJ itu.

"Semua ini membimbangkan kerana ia adalah tuduhan yang teruk. Intergriti dan kredibiliti institusi kewangan serta badan pengawalselia kita, di mata rakyat dan pemerhati global, adalah bergantung kepada respon pihak kerajaan kita mengenainya," ujar beliau lagi.

Membaca dan meneliti apa yang diperkatakan George itu,  masuk akal atau tidak apa yang diluahkannya?

Tetapi, apa reaksi Peguam Negara, Apandi Ali tentang desakan berkenaan?

"Apa dan bagaimana hendak mengulas apabila Majlis Peguam memberi kenyataan yang tidak masuk akal," kata beliau.
Jika Apandi mengatakan kenyataan Majlis Peguam itu tidak masuk akal, apakah jawapannya yang sebegitu rupa menunjukkan beliau "ada akal"?

Di mana yang tidak masuk akalnya kenyataan Majlis Peguam itu atau Apandi sudah "mati akal" untuk memberi jawapan yang berakal?

Adakah bagi beliau, hanya membersih dan menyucikan 1MDB saja satu-satunya jawapan yang masuk akal, meskipun seluruh dunia melihat ia sebagai tindak balas nakal dan tidak lebih semata-mata ingin menutup sesuatu yang gagal? (ShahbudinHusin 26/06/2017).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...